Tuesday, November 24, 2009

Latar Belakang Ringkas Asal Penubuhan PLKU



Silat Seni Gayong pada awalnya berkembang di daerah Kajang di IPTA terutamanya di UKM. Walau bagaimanapun, kebanyakan ahli Silat Seni Gayong Malaysia lepasan IPTA yang rata-ratanya di peringkat bengkong merah dan kuning (gurulatih) ini terus menghilangkan diri tanpa bergiat aktif dan membuka gelanggang untuk mengajar silat. Masalah yang dihadapi pada waktu itu ialah kekurangan gurulatih menyebabkan kepakaran mereka tidak dimanfaatkan sebaiknya.

Atas inisiatif En. Idris Bin Shaffiee (PenyelarasI), beliau telah mengumpulkan semula ahli Silat Seni Gayong Malaysia ini serta ahli-ahli Silat Seni Gayong Malaysia senior lain untuk berbincang dan mencapai kaedah untuk menguatkan institusi gurulatih muda dan gurulatih.

Pada tahun 2002, satu mesyuarat telah diadakan di rumah Prof. Madya Dr. Zainal (Penyelaras II) dan kata sepakat telah dicapai di mana mereka telah bersetuju untuk mewujudkan satu kumpulan gurulatih di kawasan Kajang yang pada waktu itu bermula dengan keahlian seramai 13 orang.

Tujuan usaha ini diwujudkan adalah untuk menguatkan kumpulan gurulatih lama, dan seterusnya meramaikan gurulatih baru disamping cuba memanfaatkan kepakaran gurulatih sedia ada untuk kebaikan Silat Seni Gayong Malaysia .

Latihan pertama telah diadakan di Dataran Dato’ Mohd Said Commercial Centre, Rinching Tengah, Beranang, Selangor. Dato’ Mohd Said waktu itu adalah pengerusi PSSGM Daerah Hulu Langat.

Selepas itu latihan dipindah ke gelanggang UKM untuk jangka masa lebih kurang 2 tahun. En Idris berpendapat bahawa perlunya bagi kumpulan ini mempunyai gelanggang sendiri, untuk tujuan tempat latihan gurulatih, tujuan mesyuarat dan tujuan tempat berkumpul dan bersosial.

Pada 22 Mac 2004, beliau telah berbincang berkenaan penyewaan rumah kedai dan hasilnya, pada 26 Mac 2004, termeterailah perjanjian penyewaan gelanggang yang digunakan sehingga sekarang. Maka tarikh itu merupakan tarikh wujudnya gelanggang dan juga Pusat Latihan Silat Seni Gayong Malaysia Cawangan Kajang Utama (PLKU).

PLKU merupakan satu gelanggang PSSGM di bawah naungan PSSGM Daerah Hulu Langat, yang bernaung pula di bawah PSSGM negeri Selangor Darul Ehsan.